Seks Melayu: Cara dan Praktikal

All about Seks Melayu. From Malaysian to the World. Education purpose containing material like sex position,technique,advices and more. Preserve the old treasure on Malay Sex advices and tips.Provides tips and how to materials according to Islam teaching.


Senaman Melayu


Dalam tempoh beberapa tahun timbul kesedaran memperkenal dan menyebarkan pengetahuan mengenai teknik warisan bangsa

KESEDARAN dan keinginan untuk hidup sihat menyebabkan teknik senaman dari benua India dan China seperti yoga dan tai chi, popular di seluruh dunia.

Masyarakat Barat sedar bahawa untuk menentukan keseimbangan sistem tubuh manusia, amalan pemakanan dan gaya hidup sihat tidak mencukupi jika senaman diabaikan.

Walaupun tidak kurang dengan teknik senaman seperti pilates, masyarakat Barat yang sentiasa mahu menerokai sesuatu yang baru beralih ke Timur untuk menerokai khazanah warisan Asia seperti yoga dan tai chi.

Perkembangan sama menular di Malaysia apabila pemodenan dan peningkatan tahap pengetahuan mengenai kesihatan menyebabkan wujud keinginan untuk mencari teknik senaman sesuai.


Pembukaan pusat senaman berasaskan yoga dan tai chi yang pelanggannya dari pelbagai kaum membuktikan rakyat Malaysia semakin terbuka menerima teknik senaman dari luar walaupun bayaran dikenakan bukan murah.

Ketika yoga semakin berkembang dan tai chi diamalkan di tempat terbuka seperti taman awam, timbul persoalan, apakah orang Melayu yang kaya dengan warisan budaya tidak mempunyai teknik senaman sendiri.

Orang Melayu sebenarnya tidak kurang hebat dengan teknik senaman setanding yoga dan tai chi, tetapi khazanah kaya ini tidak diterokai sepenuhnya. Tanyalah kepada sesetengah orang tua Melayu yang hidup sihat walaupun usia mencecah 80 tahun.

Antara jawapan mereka seperti Mohd Zin Hussain, 78, atau lebih dikenali sebagai Pok Jeng di Besut Terengganu, yang terkenal kerana berkahwin sebanyak 30 kali ialah mengamalkan senaman secara konsisten.

Senaman tegang urat yang diamalkan sejam setiap hari dikatakan antara rahsianya awet muda dan sihat.

Malangnya kebanyakan pengamal senaman Melayu bersikap individualistik. Pok Jeng sendiri mengaku bahawa senaman itu adalah rahsia peribadi dan tidak diperturunkan kepada sesiapa kecuali keluarga terdekat.

Pengetahuan dan kemahiran senaman Melayu adalah rahsia milik keluarga yang diperturunkan secara eksklusif dari seorang ayah kepada anaknya dan bukan menjadi milik masyarakat.


Pengalaman getir dirasai sendiri Pengarah Bakaprep Sdn Bhd, Azamarul Sa’adi Azman, ketika mencungkil rahsia teknik senaman seorang lelaki di Tanjung Sepat, Selangor, yang ketika hayatnya sihat dan cergas.

Katanya, Adnan Wongso yang meninggal dunia pada usia 81 tahun beberapa tahun lalu, keberatan mendedahkan teknik senaman yang kini dinamakan Senaman Baka dengan memberikan pelbagai alasan.

“Hanya selepas memujuk berkali-kali dan Allahyarham yakin dengan kesungguhan saya, baru dia menunjuk ajar senaman yang kemudian dikaji dan didokumentasi secara sistematik,” katanya.

Bagaimanapun dalam tempoh beberapa tahun ini, kesedaran untuk memperkenalkan senaman yang menjadi identiti orang Melayu dan menyebarkan pengetahuan itu sebagai satu gerakan massa semakin meluas.

Orang Melayu yang mempunyai pengetahuan mengenai senaman tidak lagi keberatan berkongsi ilmu menyebabkan senaman berasaskan seni silat semakin diterima walaupun belum mencapai tahap populariti seperti yoga dan taichi.

Antara penggerak senaman Melayu adalah Azlan Ghanie, yang mempopularkan Senaman Tua dengan beliau sendiri mengajar di sekitar Lembah Klang serta mengadakan bengkel dan seminar di seluruh negara.

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) dengan keahlian kira-kira 840,000 orang merancakkan perkembangan senaman Melayu dengan memperkenalkan Senaman Jurus Lincah yang berasaskan Silat Lincah.

Mahaguru dan pengasas PSSLM, Datuk Omardin Mauju berkata, senaman yang sesuai untuk semua kaum itu mengambil masa lapan bulan untuk dihasilkan dan terlebih dulu diuji untuk memastikan keberkesanannya.

Tenik Senaman Jurus Lincah yang memperkayakan dunia senaman Melayu juga dibukukan dan dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Walaupun mempunyai pergerakan berbeza, senaman Melayu, yoga, tai chi dan pilates mempunyai persamaan kerana teknik semua senaman ini membabitkan pernafasan dan pergerakan demi pergerakan secara teratur.

Begitu juga aspek meditasi apabila pengamal seperti menyatukan dirinya dalam senaman wujud dalam semua senaman.

Senaman Melayu yang berasaskan silat mempunyai persamaan dengan tai chi. Pergerakan senaman kebanggaan bangsa Cina ini apabila dilakukan dengan pantas boleh berubah menjadi seni mempertahankan diri.

Berbanding yoga dan tai chi yang mempunyai sejarah ribuan tahun, senaman Melayu mungkin tidak memerlukan masa sepanjang itu untuk popular. Jika populariti Tongkat Ali yang kini setanding ginseng di mata dunia dalam jangka masa singkat, tidak mustahil senaman Melayu mampu melangkah lebih jauh.

Aspek jenama dan menjadikan senaman ini lebih canggih dari segi imej seperti kemudahan tempat latihan dan pakaian, amat penting untuk mempopularkan senaman Melayu.

FAKTA
Senaman terkenal dunia


YOGA

- Dalam bahasa Sanskrit, Yoga bermaksud penyatuan.
- Yoga adalah amalan kerohanian kuno dan aliran pemikiran kerohanian yang berasal dari India.
- Empat aliran utama yoga ialah Karma, Bhakti, Jnana dan Raja.
- Yoga berkembang pesat dan popular, terutama di Barat sebagai latihan kecergasan.
- Mempunyai kaitan rapat dengan agama Hindu, Buddha dan Jainisme.
- Amalan yoga moden menerapkan prinsip moral dan etika, posisi tubuh untuk menyihatkan tubuh, falsafah kerohanian, arahan guru, membaca mantera, pranayama (latihan pernafasan) dan meditasi.
- Kebanyakan latihan yoga moden diubah suai untuk memenuhi keperluan bukan penganut Hindu yang menjadikan yoga sebagai teknik mencari ketenangan dan menjaga kesihatan.

TAI CHI

- Bermaksud genggaman terakhir yang agung adalah seni mempertahankan diri Cina.
- Terdapat pelbagai gaya tai chi tetapi dikatakan asasnya adalah dari sistem yang diajar oleh keluarga Chen kepada keluarga Yang pada 1820.
- Dipromosikan dan diamalkan sebagai terapi seni mempertahankan diri untuk tujuan kesihatan dan hidup lama.
- Amalan ini dianggap gaya seni mempertahankan diri lembut dan seni yang lengkap untuk merehatkan dan melembutkan otot.
- Lima gaya utama tai chi ialah Chen, Zhaobao, Yang, Wu dan Sun.
- Tai chi menjadi popular di seluruh dunia dengan reputrasi sebagai senaman yang menyihatkan golongan tua.
- Hospital, klinik dan pusat warga tua turut mengadakan kelas tai chi.

PILATES

- SISTEM kecergasan fizikal dicipta pada awal abad ke-20 oleh Joseph Pilates, seorang lelaki Jerman yang dilahirkan di Dusseldorf pada 1880 dan meninggal dunia pada 1967.
- Pilates berpandangan sistem itu adalah kaedah yang mengalakkan penggunaan minda untuk mengawal otot.
- Sebanyak 500 bentuk latihan dihasilkan oleh Pilates.
- Senaman ini mengajar pengamalnya mengenai kepentingan pernafasan dan jajaran tulang belakang serta menguatkan otot badan untuk mengurangkan dan mencegah sakit belakang.
- Pengamal Pilates menggunakan tubuh sebagai pemberat dalam latihan untuk membina kekuatan dan fleksibiliti.
- Ramai ahli terapi fizikal menggunakan senaman ini dalam proses pemulihan pesakit.

0 Responses to “Senaman Melayu”

Post a Comment



© 2006 Seks Melayu: Cara dan Praktikal | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online.